A Biography: "FATIMAH - Gadis Desa Srikandi Bangsa"

A Biography: "FATIMAH - Gadis Desa Srikandi Bangsa"
This 269 page book narrates the life and times of DATUK DATIN PADUKA HAJJAH FATIMAH BINTI HJ ABDUL MAJID. Other than being the first assembly woman in Johor, Datuk achieved a remarkable string of excellent "firsts" for women in the nation which elevated and exalted the status of womanhood as a whole! She was also the soft-spoken lady whose deep love for her country inspired her to selflessly pioneer and establish the brave and daring PASUKAN TENTERA WATANIAH WANITA / WOMEN'S VOLUNTARY MILITARY CORP. on our beloved soil when it was threatened by external aggression! She is a true SRIKANDI and our very own WOMAN OF SUBSTANCE! Get to know more about this amazing woman! TO ORDER THIS BOOK ONLINE, KINDLY CLICK ON THE IMAGE.

TEMURAMAH FAUZIAH FADZIL / PENULIS

Wednesday, August 26, 2009

THE SPEECH BY THE MENTERI BESAR OF JOHORE


Berdiri daripada kiri di hadapan: Puan Siti Zainab (Anakanda sulong kepada Datuk Fatimah), Datuk Fatimah, Professor Datin Paduka Dr. Jamilah Ariffin (Isteri kepada Menteri Besar Johor) & Dato Hj Abdul Ghani Othman (Menteri Besar Johor)
Berdiri di belakang: Fauziah Fadzil (Penulis) & Dato Abdullah Yusof (Pengarah MPH)


Majlis Pelancaran Buku 'Fatimah - Gadis Desa Srikandi Bangsa' Print
UCAPAN Y.A.B. DATO' HAJI ABDUL GHANI BIN OTHMAN
MENTERI BESAR JOHOR
DI MAJLIS PELANCARAN BUKU 'FATIMAH-GADIS DESA SRIKANDI BANGSA'
DI PERMATA BALLROOM, HOTEL PUTERI PACIFIC, JOHOR BAHRU
PADA HARI KHAMIS, 13 OGOS 2009 JAM 10.45 PAGI

1. Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T., di atas limpah kurnia-Nya dapat kita bersama-sama pada pagi ini sempena satu majlis yang amat bermakna kepada negeri Johor. Pada kesempatan ini, saya merakamkan penghargaan yang mendalam di atas penghormatan menyampaikan ucapan dan seterusnya melancarkan buku 'Fatimah Gadis Desa Srikandi Bangsa', iaitu satu lagi catatan bersejarah negeri ini.

2. Negeri Johor seperti yang kita saksikan dalam catatan sejarah telah melahirkan tokoh-tokoh yang cukup istimewa baik daripada kalangan dirajanya, tokoh-tokoh politik, pentadbir, cendekiawan dalam lapangan ekonomi, pendidikan, sosial, bahasa, persuratan, kesenian, kebudayaan dan lain-lain. Tokoh-tokoh ini telah berjuang dalam bidang masing-masing untuk meletakkan Johor dalam peta kemajuan agama, bangsa dan negara. Usaha merakamkan riwayat hidup dan perjuangan mereka sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan mereka kepada agama, bangsa dan negara, wajar dilakukan lebih giat lagi.

3. Sesungguhnya kewibawaan dan ketokohan para pejuang terbilang dari bumi Johor ini banyak pengaruhnya dalam kebangkitan semangat nasiolisme yang kental sehingga tercapainya kemerdekaan tanah air pada tanggal 31 Ogos 1957.

Para hadirin sekalian,

4. Negeri Johor telah melahirkan ramai tokoh terbilang yang memberi sumbangan di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa. Antaranya Dato' Abdul Rahman Andak, Dato' Onn Jaafar, Tun Dr. Ismail, Tun Hussein Onn, Tun Sardon Jubir, Ibu Zain Sulaiman, Tan Sri Syed Jaffar Albar dan ramai lagi. Semua tokoh ini jumlahnya hampir 150 orang telah ditulis biografinya dan diterbitkan oleh Yayasan Warisan Johor dalam lima jilid iaitu; Pejuang Terbilang Johor, Tokoh Ternama Johor, Pengukir Nama Johor, Johor Mengabdikan Namamu, Johor Mengenang Sumbangsihmu dan sebuah buku lagi dalam proses penerbitan ialah Pengemudi Bahtera Merdeka Johor.

5. Penulisan memoir dan biografi tokoh ini menjadi khazanah warisan sejarah yang tidak ternilai harganya kepada generasi muda untuk memantapkan lagi semangat cintakan negara. Generasi muda harus belajar daripada sejarah tentang asal-usul mereka mengenai kekuatan yang dimiliki dalam mencorakkan perjalanan hidup bangsa sehingga berada dalam keadaan seperti yang ada sekarang. Penulisan buku biografi tokoh merupakan satu usaha yang murni dan pastinya dapat menjana kefahaman generasi muda mengenai erti sebuah kemerdekaan yang sebenarnya.

Tuan puan para hadirin sekalian,

6. Di negara kita, penulisan memoir dan biografi tokoh merupakan rakaman baru yang perlu dipupuk perkembangannya. Memoir dan biografi tokoh adalah catatan sebuah kehidupan individu dan kelompok manusia bersamanya. Penulisan seperti ini menjadi sebahagian daripada warisan ilmu pengetahuan yang berharga dan mampu dijadikan kebanggaan untuk pembinaan sesuatu bangsa serta rujukan generasi mendatang.

7. Memoir atau buku biografi tokoh "Fatimah Gadis Desa Srikandi Bangsa" tentu mempunyai keistimewaannya. Sehingga kini tidak banyak buku yang seumpama ini diterbitkan, khususnya buku tentang tokoh wanita Johor yang bergiat aktif dalam politik dan kemasyarakatan. Dalam ingatan saya buku tokoh wanita yang telah diterbitkan ialah; Memoir Khatijah Sidek: Puteri Kesatria Bangsa dan Tan Sri Fatimah: Potret Seorang Pemimpin.

8. Oleh itu, buku "Fatimah Gadis Desa Srikandi Bangsa" merupakan buku ke-3 tokoh politik wanita Johor. Satu penyelidikan sedang dijalankan untuk menerbitkan buku biografi Ibu Zain Sulaiman .

9. Fatimah Gadis Desa memang tepat sekali frasa ini. Dato' Fatimah dilahirkan 90 tahun dahulu di Parit Bakar Muar, dibesarkan dalam suasana kampung sebelum negara mencapai kemerdekaan. Tinggal di rumah kayu usang, beratap zink dan nipah, menggunakan air perigi dan parit, pelita minyak tanah dan berjalan kaki di atas jalan tanah menuju ke sekolah melayu parit bakar darat. Semasa kecilnya Fatimah atau 'Not" nama timangannya adalah seorang yang rajin dan dipercayai oleh ibunya. Kerja rutin hariannya yang diberikan adalah mengisi air ke dalam tempayan di dapur rumah daripada perigi yang jauhnya 300 ela, mengumpul ranting-ranting kayu untuk dijadikan kayu api dan memasang pelita minyak apabila hari mulai senja.

Dato Hj.Abdul Ghani Othman sempat menyampaikan lagu "Gemala Hati" yang ditujukan khas kepada Datuk Fatimah. Set rumah kampung itu adalah gambaran rumah sebenar di mana Datuk Fatimah telah dilahirkan.


Para hadirin sekalian,

10. Ungkapan "Srikandi Bangsa" amat tepat sekali gelaran ini diberikan kepada Dato' Fatimah. Mengikut kamus dewan 'srikandi' bermaksud "wanita yang berani dan mempunyai semangat nasional sejati." Semangat ini diterjemahkan dalam kegiatan politiknya. Dato' Fatimah menyertai politik pada awal tahun 1946 dengan menyertai Pergerakan Melayu Semenanjung Johor yang dipimpin oleh Dato' Onn Jaafar dan menjadi ahli UMNO apabila UMNO ditubuhkan di Istana Besar pada 11-12 Mei 1946.

11. Mulai saat ini, tuah Dato' Fatimah yang dirasakan oleh ibunya ketika masih dalam kandungan benar-benar berlaku dalam kehidupan Dato' Fatimah. Kejayaannya dalam arena politik meningkat, daripada seorang ahli biasa UMNO pada tahun 1946, memegang pelbagai jawatan penting dalam UMNO mulai tahun 1948. Pada tahun 1959-1964 menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Plentong, kemudian pada tahun 1964 hingga 1978 sebagai Ahli Parlimen Batu Pahat Dalam dan Semerah yang meletakkan Dato' Fatimah menjadi wanita Johor pertama sebagai Ahli Dewan Rakyat.

12. Gelaran srikandi bangsa dilonjakkan lagi apabila beliau memegang jawatan Naib Ketua Badan Perhubungan Umno Negeri Johor dan Ketua Kaum Ibu UMNO Johor selama 23 tahun (1960-1983), Naib Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia (1973-1979) dan Timbalan Pengerusi Tetap Pergerakan Wanita UMNO Malaysia (1979-1983).

13. Buku "Fatimah Gadis Desa Srikandi Bangsa" banyak keistimewaannya. Dato' Fatimah seperti mana yang saya kenali mempunyai perwatakan yang unik dan istimewa selain pemikiran beliau mengenai kemajuan dan hak wanita. Sepanjang saya mengenalinya, beliau banyak memberi sumbangan ke arah kebaikan wanita, sama ada menerusi bidang politik mahupun pergerakan sosial. Kesempatan untuk mengangkat martabat wanita sering disuarakan melalui Persidangan Dewan Negeri, Dewan Rakyat dan melalui akhbar-akhbar. Antaranya adalah isu poligami, isu harta sepencarian, menyeru wanita supaya berdaya saing untuk merebut peluang ekonomi dan penubuhan askar wataniah wanita pertama.

14. Dato' Fatimah bukan sahaja dikenali sebagai ahli politik, malah beliau juga aktif dalam bidang sosial dan kebajikan. Antara penglibatan beliau dalam bidang ini adalah bergiat aktif dalam perkumpulan wanita (w.i) peringkat daerah, negeri dan sejak tahun 1983 hingga sekarang, menjawat jawatan Timbalan Pengerusi Perkumpulan Wanita Semenanjung Malaysia.

Para hadirin sekalian,

15. Berbalik kepada penerbitan buku yang bersifat memoir dan biografi, di negara kita, ia masih kurang dibandingkan di negara-negara membangun yang lain, apatah lagi jika dibandingkan dengan penerbitan buku di negara-negara maju. Satu usaha harus digerakkan, khususnya di negeri Johor untuk menerbitkan buku yang menjadi bahan bacaan, bahan rujukan dan kajian. Selama 20 tahun Yayasan Warisan Johor ditubuhkan, sebanyak 53 buah buku telah diterbitkan, terdiri daripada buku sejarah, budaya, politik, kesenian, biografi, novel dan puisi.

16. Dalam masa dua tahun kebelakangan ini satu perkongsian bijak dan persefahaman telah diwujudkan antara Yayasan Warisan Johor dengan pihak penerbit MPH dalam menerbitkan buku-buku berkaitan dengan negeri Johor. Melalui persefahaman ini enam buah buku telah diterbitkan. Adalah menjadi satu cabaran kepada penulis-penulis Johor untuk menulis buku mengenai Johor yang meliputi pelbagai bidang.

17. Kerajaan negeri melalui Yayasan Warisan Johor telah mengadakan Hadiah Sastera Darul Ta'zim setiap dua tahun sekali. Hadiah Sastera Darul Ta'zim yang diadakan pada 17 Julai 2009 yang lalu merupakan kali ketujuh. Hadiah Sastera Darul Ta'zim diwujudkan sebagai penghargaan kepada para penulis Johor kerana sumbangan yang telah diberikan dalam bidang pengembangan bahasa dan sastera serta untuk mendorong dan menjana iltizam serta kreativiti para penulis Johor untuk menghasilkan karya-karya besar dan bermutu.

18. Sehubungan itu, saya menyarankan agar Yayasan Warisan Johor memperluaskan bidang penulisan yang boleh diberi penghargaan. Ini bertujuan untuk menggalakkan penulis Johor menulis mengenai ekonomi, politik, pendidikan, sosial, kebudayaan, kesenian, keagamaan negeri johor. kaedah seperti ini mungkin dapat menarik minat lebih ramai penulis untuk menulis buku. Mereka bukan sahaja akan mendapat royalti penjualan buku tetapi kerajaan Johor dapat memberi pengiktirafan kepada mereka kerana mengharumkan nama Johor melalui penerbitan buku.

19. Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan syabas kepada penulis dan penyunting buku ini. Terima kasih yang tidak terhingga juga saya ucapkan kepada penerbit MPH dan Yayasan Warisan Johor yang menerbitkan buku ini. Tahniah dan terima kasih kepada Dato' Fatimah dan ahli keluarganya yang mengadakan majlis pelancaran buku ini. Semoga buku "Fatimah Gadis Desa Srikandi Bangsa" dapat membuka minda dan contoh teladan kepada generasi muda khususnya kaum wanita.

Sekian, Wabillahitaufik Walhidayah,
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.




No comments: