A Biography: "FATIMAH - Gadis Desa Srikandi Bangsa"

A Biography: "FATIMAH - Gadis Desa Srikandi Bangsa"
This 269 page book narrates the life and times of DATUK DATIN PADUKA HAJJAH FATIMAH BINTI HJ ABDUL MAJID. Other than being the first assembly woman in Johor, Datuk achieved a remarkable string of excellent "firsts" for women in the nation which elevated and exalted the status of womanhood as a whole! She was also the soft-spoken lady whose deep love for her country inspired her to selflessly pioneer and establish the brave and daring PASUKAN TENTERA WATANIAH WANITA / WOMEN'S VOLUNTARY MILITARY CORP. on our beloved soil when it was threatened by external aggression! She is a true SRIKANDI and our very own WOMAN OF SUBSTANCE! Get to know more about this amazing woman! TO ORDER THIS BOOK ONLINE, KINDLY CLICK ON THE IMAGE.

TEMURAMAH FAUZIAH FADZIL / PENULIS

Thursday, August 27, 2009

WRITER'S SPEECH AT THE LAUNCH OF "FATIMAH - Gadis Desa Srikandi Bangsa'"

Penulis bersama Datuk Fatimah


BISMILLAHIRRAHMAANIRRAHIM…


“DIKAU WANITA BERSEMANGAT WAJA

SRIKANDI MELAYU KEMEGAHAN BANGSA

PENGORBANANMU MURNI JASAMU MULIA

MUTIARA MERDEKA PERMATA NEGARA!”


Begitulah dedikasi saya kepada YABhgia Datuk Datin Paduka Hjh Fatimah binti Hj Abdul Majid. Beliau bukan sahaja merupakan seorang wanita luar biasa yang amat saya kagumi dan sanjungi tetapi beliau juga bagaikan seorang ibu yang amat saya kasihi dan hormati…


…ASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAA HIWABARAKAATUH….

SEMUGA KITA MEMPEROLEH BERKAT DAN HIDAYAT DI HARI YANG BERBAHAGIA INI……..


YAB HJ.ABDUL GHANI BIN HJ. OTHMAN, MENTERI BESAR JOHOR, YADIHORMATI PROFESSOR DATIN PADUKA DR. JAMILAH BINTI ARIFFIN,

AHLI2 YG BERHORMAT, TAN SRI2, PUAN SRI2, DATO2, DATIN2 YG. DI HORMATI

SERTA TUAN2 DAN PUAN2 YANG DI KASIHI SEKELIAN…


Alhamdulillah…Saya mengucap syukur ke hadrat ilahi oleh kerana dengan izin dan limpah kurniaNya jualah maka buku FATIMAH – Gadis Desa Srikandi Bangsa” ini berjaya diterbitkan dengan sempurna.


Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan terima kasih saya yang tidak terhingga kepada Hjh Siti Zainab, anakanda sulong kepada Datuk Fatimah, juga seorang sahabat baik saya, kerana beliaulah yang telah memberi kesempatan dan kepercayaan penuh kepada saya untuk menulis dan menghasilkan biografi Datuk Fatimah ini. Saya juga ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Datuk Siti Saleha, adinda kepada Siti Zainab, yang turut memberi saya beberapa pandangan dan cadangan beliau... Seterusnya saya ucapkan ribuan terima kasih kepada Tuan Hj. Kamdi bin Hj. Kamil daripada Yayasan Warisan Johor yang telah sudi menjadi penyunting kepada buku ini dan telah memberi saya beberapa pengetahuan baru yang amat saya hargai. Tidak lupa juga, saya ucapkan berbanyak terima kasih kepada jasa baik Tuan Hj. Ismail Zamzam, Timbalan Pengarah Yayasan Warisan Johor, yang telah banyak juga memberi bantuan ...


Buku “FATIMAH – Gadis Desa Srikandi Bangsa” ini merakamkan secara komprehensif liku-liku perjalanan dan pengalaman hidup Datuk Fatimah, sepanjang hayatnya selama sembilan puluh tahun.


Pemimpin ulung, Julius Caesar pernah berkata,”Pengalaman adalah guru kepada segalanya..”. Begitu juga boleh dikatakan, pengalaman hidup telah menjadi guru kepada Datuk Fatimah yang telah membentuk dan mencorakkan keperibadian beliau menjadi seorang insaniah yang bertanggung jawab, begitu komited, taat dan serba berkebolehan di dalam pelbagai bidang. Pengorbanan yang terpaksa beliau lakukan sejak beliau berumur lima tahun lagi, demi kesejahteraan keluarga, telah matang dan berkembang menjadi satu azam dan tekad yang begitu jitu dan yang telah mencetuskan semangat yang cekal, kental dan penuh berwibawa di dalam diri beliau.


Sebenarnya terlalu banyak yang hendak saya katakan mengenai Datuk Fatimah sehingga saya sendiri tergamam dengan apa yang ada di dalam fikiran saya!.....


…… Saya juga ada ditanya kenapa saya beri tajuk buku ini “FATIMAH – Gadis Desa Srikandi Bangsa”? … Pada hemah saya, nama ‘FATIMAH’ yang pada zahirnya kelihatan dan kedengaran tersangat ringkas itu – melambangkan keluhuran jiwa sanubari dan diri Datuk Fatimah yang sebenarnya... Tambahan lagi – beliau sentiasa memperingati diri dan keluarganya, dan tidak lupa juga beliau beberapa kali telah mengingati saya, bahwa beliau asalnya dari desa, seorang anak gadis desa yang telah banyak merasai asam garam kehidupan sejak kecil lagi … dan beliau bangga dan bersyukur dengan asal usul dirinya dan di atas segala pengalaman yang telah dilayarinya itu. Beliau juga seorang wanita yang tidak suka mendabik dada dan merupakan seorang yang sentiasa berhemah tinggi dan suka merendah diri. Tetapi, di sebalik kelembutan beliau itu, sebenarnya wujud kehebatan semangat yang amat gigih, kental, berani - satu semangat yang telah mengangkat beliau menjadi seorang Srikandi bangsa dan Negara!


Datuk Fatimah telah banyak meraih kecemerlangan dan telah mencapai kejayaan demi kejayaan di dalam hidupnya. Beliau bukan sahaja telah melonjakkan martabat bangsa dan negara, tetapi yang penting, pada pandangan saya sebagai seorang wanita, beliau telah mengangkat martabat wanita tanah air keseluruhannya!


Di era yang tidak secanggih seperti sekarang ini, beliau berani menjadi perintis dalam bidang yang jarang diterokai oleh wanita ketika itu mahupun oleh bangsanya sendiri! Dan berlatarkan suasana masyarakat Melayu dahulu, di mana kaum wanita tidak digalakkan mempunyai impian yang tinggi, beliau pula telah melawan arus bila sahaja mendapat kesempatan setelah berumah tangga.


Memperjuangkan hak, kepentingan dan kesejahteraan wanita sentiasa mendapat tempat istimewa di hati beliau kerana beliau yakin dan percaya bahawa jika di beri kesempatan yang sama, kaum wanita juga boleh menggapai kecemerlangan - setanding dengan kaum lelaki kalau tidakpun, lebih baik!

Antara perkara-perkara yang telah menjulang martabat kaum wanita tanah air, yang pernah diperjuangkan oleh Datuk Fatimah dahulu, perkara yang paling menyentuh dan mencuit hati nurani saya ialah …apabila beliau menubuhkan Pasukan Tentera Wataniah Wanita yang pertama di bumi tercinta - semasa negara kita berkonfrontasi dengan Indonesia!


Pada saya, itulah semangat patriotisme di tahap maksima – tidak langsung ada kepentingan diri sendiri...begitu suci… begitu mulia hati budinya kerana beliau bukan sahaja telah melakukannya secara sepontan, ikhlas dan jujur, tetapi beliau juga berjaya meyakinkan segolongan wanita cekal berani di negeri Johor ini untuk bersama dengan beliau - menyahut seruan ibu pertiwi - secara SUKARELA!


Bukan itu sahaja, wanita-wanita berani ini juga sanggup berputih tulang, sanggup menggadai jiwa dan raga dan bagai meletakkan nyawa mereka di hujung pedang.. demi membela Negara tercinta! Bayangkan - mereka juga telah membelanjakan wang saku mereka sendiri untuk membeli uniform dan kelengkapan lain yang diperlukan - dengan relahati!! Seumur hidup mereka, tidak seorang pun yang pernah sekali mengangkat senapang, jauh sekali menembak, tetapi sebagai ahli Tentera Wataniah itu, mereka berkobar-kobar mempelajari segala ilmu yang perlu serta taktik-taktik peperangan tanpa mengenang penat dan lelah!!....


Walaupun tidak berkesempatan untuk ke medan peperangan, kerana alhamdulillah …konfrontasi tidak berpanjangan - namun nawaitu dan tindakan Datuk Fatimah yang sungguh murni itu sudah cukup untuk menjadikan beliau seorang Srikandi bangsa dan Negara yang tidak ternilai jasa budinya! Mengenangkan perkara ini, persoalan yang ingin saya tanyakan - MASIHKAH ADA SEMANGAT PATRIOTISME SEDE-MIKIAN, DI KALANGAN KITA, SEKARANG INI?? …Tepuklah dada tanyalah selera ya?


Penulis bersama Datuk Fatimah


Saya benar-benar kagum dengan personaliti Datuk Fatimah dan dengan ikhlas saya berpendapat beliau boleh menjadi ikon yang baik untuk generasi muda, terutamanya untuk kaum wanita di Negara kita ini. (Bukanlah bintang Akademi Fantasia yang harus dicontohi…!!) Tetapi…sayang sekali kerana ramai rakyat Malaysia tidak mengenali siapa dia Datuk Fatimah Hj Abdul Majid - kerana kisah diri beliau serta jasa-jasanya yang telah begitu banyak ditaburkan, tidak didedah dan disebarkan kepada pengetahuan masyarakat umum. Adakah anda tahu, di sebabkan beliaulah maka kini terdapat ramai kaum wanita menganggotai pasukan polis dan tentera Negara? Pernahkah terlintas di fikiran kita mengenai perkara ini? Dan di sebabkan beliau jugalah maka ramai para isteri Melayu tidak teraniaya dan mendapat hak yang saksama dalam pengagihan harta sepencarian di dalam kes-kes perceraian keluarga Islam di negara kita! Itu baru sebahagian sahaja daripada sumbangan Datuk Fatimah kepada kita semua!


Syukur alhamdulillah…dengan terbitnya buku “FATIMAH – Gadis Desa Srikandi Bangsa” ini, sebanyak sedikit masyarakat Malaysia umumnya – terutama sekali kepada generasi muda - akan mula mengenali siapa dia Datuk Datin Paduka Hjh Fatimah binti Hj Abdul Majid. Semuga pengalaman hidupnya dan keperibadian dirinya itu dapat menjadi inspirasi kepada anak-anak bangsa untuk mencontohi dan menjadikannya sebagai satu tauladan.


Saya sebenarnya membelai impian untuk menggarapkan kisah dan keperibadian

Datuk Fatimah ke layar perak, di mana prinsip beliau yang pantang mengalah sebelum mencuba itu, komitmen dan semangat kental beliau itu, serta jiwa ikhlasnya yang selalu melestarikan fardhu kifayah kepada masyarakat, dapat ditonjolkan dan dijadikan sebagai satu filem inspirasi dan wadah visual terhadap pembangungan mental dan pembentukan jati diri anak-anak bangsa dan juga Negara! Insyaallah…saya yakin jika nawaitu kita itu betul-betul ikhlas dan jujur.. akan diizinkan jua oleh yang Maha Menyayangi dan Maha Mengasihi! Kerana dalam pandangan saya …. Datuk Fatimah Hj Abdul Majid is - TRULY OUR MALAYSIAN WOMAN OF SUBSTANCE…!!


Akhir kata…saya rasa amat bertuah kerana telah mendapat satu peluang keemasan untuk mengenali Datuk Fatimah dengan lebih dekat lagi di mana akhirnya terhasillah buku ini.


Secara kebetulan, kita sekarang berada di dalam bulan Ogos – bulan di mana kita meraikan Hari Kemerdekaan Negara kita yang tercinta dengan mengenang kembali jasa-jasa perjuangan lampau.


Kepada semua yang hadir di sini, pada pagi yang bahagia dan bermakna ini, saya harap kita semua dapat bersyukur dan berterima kasih kapada Mutiara Merdeka dan Permata Negara seperti Datuk Fatimah dan juga rakan-rakan seperjuangannya yang lain kerana mereka telah menghadiahkan sesuatu yang tidak ternilai kepada kehidupan kita semua – iaitu, sebuah Negara yang berdaulat, merdeka, aman dan makmur!...


Terima kasih Datuk Fatimah! Jasamu di kenang dan saya…amat bersyukur sekali…!


Sekian.


Wabillahitaufik...walhidayah…wassalaamualaikum warahmatullaa hiwabarakahtuh…


Terima kasih.


--------------------------------------------------------------------

Teks ucapan FAUZIAH FADZIL, sebagai penulis, di hari pelancaran buku :

”FATIMAH – Gadis Desa Srikandi Bangsa.”

10.00 pagi, 13 Ogos 2009, di Permata Ballroom, Hotel Puteri Pacific, Johor Bahru.

Diresmikan oleh YAB Dato Hj.Abdul Ghani Hj Othman, Menteri Besar Johor.

--------------------------------------------------------------------





No comments: